Ahad, 1 September 2013

Majlis Reda Ilmu Murid-Murid Tahun 6

Teks Ucapan Wakil Guru Panitia Bahasa Melayu


Assalamualaikum w.r.t

 

Yang Berusaha Tuan Guru Besar En. Md Hatta bin Samian, Guru Penolong Kanan Kurikulum Pn. Norhaini binti Yaacob, Guru Penolong Kanan HEM En Haron bin Sarif, Guru Penolong Kanan Kokurikulum Pn. Hjh Rashidah binti Jais, guru-guru serta murid-murid yang dikasihi sekalian.

Setelah puas ilmu guru-guru curahkan, petua diberi, kaedah diselitkan, selok belok mencari, menjawab, meneliti turut guru-guru taburkan. Hari ini saya mewakili guru-guru Bahasa Melayu meredakan segala ilmu yang dicurahkan sepanjang mengajar kamu semua. Semoga ilmu yang diberikan terus menjadi pedoman, memberi inspirasi, semangat dan ketekalan jati diri serta bekalan dalam menghadapi ujian penilaian sekolah rendah 2013 atau UPSR 2013.

 

Saya dan guru-guru serta pihak sekolah amat berharap agar kamu telah membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan UPSR ini. Saya harap semasa menduduki peperiksaan nanti kamu dapat menjawab dengan baik. Baca arahan dan soalan dengan teliti sebelum mula menjawab. Jangan lupa meneliti jadual peperiksaan, mengawal pemakanan, memastikan keselamatan dan memantau kesihatan diri. Di samping berusaha jangan lupa berdoa dan bertawakal agar kamu memperoleh keputusan yang cemerlang dalam UPSR ini. Berikanlah kejayaan yang cemerlang kepada sekolah dan keluarga kamu.

 

            Akhir kata, setiap yang baik itu adalah rahmat daripada Allah s.w.t, segala kekurangan itu kerana sebagai manusia kita sentiasa teralpa , saya mewakili guru-guru Bahasa Melayu memohon ampun dan maaf sepanjang kami mengajar dan berkongsi ilmu dengan murid-murid mungkin kami ada terkasar bahasa. Kami sentiasa mendoakan kejayaan yang cemerlang buat kamu semua.

 

Jika semalam kita bermasam muka,
Esok lusa kita beraya sakan,
Jika minggu depan murid-murid duduk periksa,
Doa dan selawat cikgu titipkan;

 
Anak-anak tahun 6 yang cemerlang gemilang,
Harapan cikgu kasih ditautkan,
Tekalkan semangat menepis penghalang,
Berserah padaNya hati ditenangkan.

 

SELAMAT MENGHADAPI UPSR 2013, CIKGU RESTUI SEGALA ILMU YG DIBERIKAN :

Sekian, terima kasih.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aslmkum,saya dari 6anggerik mengucapkan selamat hari raya korban kepada seluruh warga skskt yang dikasihi.selagi saya bernafas,insy-ALLAH saya akan mengamalkan segala ajaran daripada cikgu skskt...wslm

 
;