Khamis, 1 November 2012

Peribahasa

1. Peribahasa yang telah tercipta memang banyak.
2. Peribahasa dibahagikan kepada jenis-jenis yang berikut:

  • simpulan bahasa
  • perumpamaan
  • pepatah
  • bidalan
  • bandingan
  • kata-kata hikmat

Simpulan bahasa
1. Simpulan bahasa merupakan jenis peribahasa yang paling mudah dan ringkas.
2. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata seperti ada hati, batu api, cepat tangan dan sebagai.

Perumpamaan
1. Perumpamaan pula merupakan jenis peribahasa yang maknanya tersirat di sebalik susunan kata- kata yang membentuk perumpamaan itu. 
2. Biasanya kata-kata bagai, ibarat, laksana, seperti, dan umpama terkandung dalam perumpamaan.
3. Contohnya:

  • bagai aur dengan tebing
  • ibarat burung, mata lepas badan terkurung
  • laksana burung diam dalam sangkar
  • seperti abu di atas tunggul
  • umpama buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang dan sebagainya.

Pepatah
1. Pepatah merupakan jenis peribahasa yang berangkap serta terdapat pengulangan kata di dalamnya untuk penegasan, falsafah, atau pengajaran yang hendak disampaikan.
2. Contohnya:

  • berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
  • ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
  • hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah dan sebagainya.

Bidalan
1. Bidalan merupakan jenis peribahasa yang maksudnya tersirat di sebalik susunan kata-kata yang membentuknya.
2. Bidalan tidak mengandung sesuatu kata yang tertentu seperti perumpamaan.
3. Contohnya:

  • ada gula ada semut
  • ada rupa ada harga
  • air dicincang tiada putus dan sebagainya.

Bandingan
1. Bandingan ialah sejenis peribahasa yang maknanya dinyatakan dengan amat jelas dan terus terang, secara membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain.
2. Contohnya:

  • adil laksana hakim
  • baik seperti malaikat
  • angkuh seperti merak dan sebagainya.

Kata-kata hikmat
1. Kata-kata hikmat merupakan jenis peribahasa yang biasanya terbit daripada ayat-ayat suci dalam kitab-kitab atau daripada percakapan serta penulisan seseorang yang dihormati dan terbilang.
2. Kata-kata tersebut berisi falsafah atau pengajaran yang berguna sebagai panduan hidup.
3. Contohnya:

  • bahasa jiwa bangsa
  • hidup ini suatu perlumbaan
  • berkata benarlah walaupun kebenaran itu menyakitkan dan sebagainya.
   


Tiada ulasan:

 
;