Rabu, 15 Mei 2013

Ucapan Selamat Hari Guru

Salam sejahtera,

Selamat Hari Guru 2013, saya ucapkan kepada semua yang bergelar cikgu. Tema Hari Guru 2013 "Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda" membawa maksud guru sebagai agen perubahan menyampaikan ilmu kepada murid-murid tanpa rasa jemu dan guru juga perlu menambahkan ilmu pengetahuan yang sedia ada untuk menghadapi cabaran pada era globalisasi kini. Sesungguhnya tugas mendidik sangat mulia dan jasa guru tidak akan dilupakan. Saya juga sentiasa mengingati jasa guru-guru yang pernah mengajar saya, jasa dan pengorbanan cikgu akan saya kenang selagi hayat dikandung badan. Terima kasih cikgu.
 

LAGU GURU MALAYSIA

| LAGU GURU MALAYSIA

LAGU BIARKU MENJADI LILIN (PERSEMBAHAN MURID TAHUN 6 ANGGERIK SEMPENA HARI GURU)


Murid-murid Tahun 6 Anggerik akan membuat sempena Sambutan Hari Guru 2013

LAGU TERIMA KASIH CIKGU

Lagu ini akan dinyanyikan oleh Murid-murid Tahun 6 Anggerik semasa Persembahan Murid.

Teks Ucapan Wakil Murid SK Seri Kg Tengah Sempena Sambutan Hari Guru 16 Mei 2013


Teks Ucapan Wakil Murid Sempena Hari Guru 2013
Bismillah hirrahman nirrahim,
            Yang Berbahagia YDP PIBG Sk Seri Kg Tengah En. Abdul Wahib bin Mahmud. Yang Berusaha Guru Besar Sk Seri Kg Tengah En. Md Hatta bin Samian, barisan guru-guru penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati sekalian.
            Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, Salam 1 Malaysia, Salam Mercu di Hari Guru.
            Jika hari ini, seorang Perdana Menteri berkuasa,
            Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
            Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
            Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
            Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
            Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
            Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
            Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa.
            Bicara saya dimulakan dengan deklamasi petikan sajak yang saya dapati dari laman maya. Sajak tersebut kalau direnung-renungkan sememangnya mengenai guru dan jasanya. Dalam konteks yang mendalam, saya mendapati penyajak ingin mengutarakan bahawa guru merupakan tulang belakang utama sesebuah negara.
            Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi kepada agama, bangsa dan juga negara.
            Pepatah Melayu ada berkata “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”, menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna kepada kita semua. Tanpa guru, takkan ada insan-insan hari ini yang berpangkat menteri, berjawatan besar, bergelar jutawan dan sebagainya.
            Tema hari guru tahun ini, Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda jika dilihat secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah maka guru sebagai agen perubahan iaitu transformasi pendidikan negara perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan.
            Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke arah wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan. Guru-guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Rakan-rakan sekalian,
            Segala kejayaan yang kita kecapi semalam, hari ini dan esok terletak pada tugas yang digalas oleh insan yang bergelar guru. Tugas guru merupakan satu tugas yang mulia dan murni. Guru telah mendidik kita dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu. Maka tidak hairanlah Tema Hari Guru 2013 iaitu Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda dalam pendidikan negara ingin mewujudkan pendidikan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
            Segala pengajaran yang diberikan oleh semua guru amat kami hargai. Akan kami gunakan segala ilmu yang telah disampaikan untuk membina jati diri. Seterusnya, berbakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta.
            Kami sebagai generasi muda, berjanji akan meneruskan legasi kemakmuran dan keharmonian negara ini.
            Cikgu,
            Kalau tinggi Gunung Everest, tinggi lagi budimu cikgu,
            Kalau dalam lautan Atlantik, dalam lagi jasamu cikgu,
            Kalau harum bau kasturi, harum lagi pengorbananmu cikgu,
            Terima kasih cikgu.
            Sebelum saya menutup tirai, saya mewakili semua murid SK Seri Kg Tengah ingin memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan kami dan seterusnya ingin mengucapkan “Selamat Hari Guru 2013” kepada semua guru SK Seri Kg Tengah. Segala pengorbanan cikgu akan kami semat dan hargai selagi hayat dikandung badan.
Sekian, wabillahitaufik wal hidayah, wasalamualaikum wbkh.

 Ucapan Wakil Murid
Nurul Amirah Salwana binti Abdul Wahib (6 Anggerik)
sempena Hari Guru 2013
            

Ahad, 12 Mei 2013

Tahun 6 Anggerik | BAHASA MELAYU

Tahun 6 Anggerik | BAHASA MELAYU
 
Salam Sejahtera,
Murid-murid boleh melawat laman baru iaitu Peka Bahasa dan Ejaan yang boleh memberikan banyak pengetahuan dan manfaat kepada murid-murid dari segi pemantapan Tatabahasa. Diharap murid-murid mengambil inisiatif untuk sentiasa melawat blog cikgu. Sekian, terima kasih.

Isnin, 6 Mei 2013

Tahun 6 Anggerik

| BAHASA MELAYU

Salam Sejahtera,
Kepada murid Tahun 6 Anggerik, kamu boleh melawat blog cikgu untuk mendapatkan info-info, bahan pembelajaran dan melihat aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dalam bilik darjah. Harap selalulah melawat blog cikgu. Sekian, terima kasih.
 
;